Tuesday, December 16, 2008

Prinsip Perakaunan sebagai subjek elektif SPM

TAKLIMAT KERTAS PRINSIP PERAKAUNAN – ORIENTASI PELAJAR T4 2008

Subjek Prinsip Perakaunan SPM merupakan subjek elektif. Ianya dimasukkan sebagai salah satu subjek dalam kumpulan sastera ikhtisas. Subjek ini ditawarkan kepada semua pelajar tetapi sudah menjadi amalan majoriti sekolah di Malaysia menawarkannya sebagai salah satu subjek yang diambil oleh pelajar-pelajar dalam aliran sains tulen+ikhtisas dan aliran sastera+ikthisas atau aliran teknologi+ikhtisas. Kebanyakan pelajar yang mengambil subjek ini dianggap selalunya terdiri dari pelajar yang mempunyai kemahiran dalam subjek matematik, selalunya ditunjukkan dalam keputusan PMR mereka.

Kenapa pelajar sepatutnya mengambil subjek ini? Jika dilihat daripada dasar KPM dan objektif menawaran subjek ini, kita akan dapati bahawa matlamat tersurat adalah mendedahkan pelajar-pelajar kepada aspek-aspek pengurusan akaun dan kewangan yang diamalkan oleh organisasi perniagaan. Pengamalan perakaunan yang piawai adalah perlu dari peringkat perkeranian hinggalah ke peringkat kepegawaian dan pengurusan. Namun begitu, ada beberapa matlamat tersirat yang boleh dilihat dari penawaran subjek ini:

1. Membentuk nilai-nilai murni seperti kebertanggungjawaban, kebolehpercayaan dan disiplin diri. Ketiga-tiga ini sangat dititikberatkan di dalam kerjaya perakaunan. Kebolehpercayaan boleh disemai melalui amalan perakaunan yang standard, yang dipersetujui diperingkat antarabangsa. Kebertanggungjawaban boleh dibimbing melalui konsep ketepatan catatan urusniaga dan amalan dokumentasi yang diajar dalam subjek ini. Disiplin diri dibina melalui keakuran kepada sistem perakaunan itu sendiri. Semua orang akur kepada sistem catatan bergu dan pengklasifikasian akaun-akaun, tanpa menyeleweng dari sistem ini.

2. Menyediakan sumber tenaga manusia berpotensi yang akan menceburi bidang perakaunan. Di Malaysia akauntan bertauliah masih kurang.

3. Mengagihkan dan menyalurkan bakal pekerja kepada pelbagai bidang, tidak hanya tertumpu kepada bidang sains dan penyelidikan dan bidang kemanusiaan semata-mata.

4. Salah satu usaha menjayakan dasar ekonomi negara yang memberi peluang kpd semua masyarakat menceburi dunia perniagaan. Usaha penawaran subjek ini di peringkat sekolah menengah atas sekurang-kurangnya akan diharap dapat membantu mempercepatkan proses ini.

1 comment: